PETALING JAYA – Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir
Mohamad pada Selasa berkata Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) tidak perlu
diteruskan dalam Belanjawan 2014, dan ini sekali gus mengurangkan
kebergantungan rakyat kepada kerajaan.
Kerajaan sebaliknya perlu mencari jalan untuk melatih
golongan kurang berkemampuan itu dengan sesuatu kebolehan supaya dapat menjadi
sumber pendapatan mereka, katanya kepada pemberita selepas berucap di majlis
Program Bicara Petang Bersama Tun Dr Mahathir Mohamad di sini Selasa.
“Sepatutnya dalam masyarakat kita, kita tak suka jadikan
orang kita ini, orang yang selalu bergantung kepada kerajaan dan tak mahu
membuat kerja.
“Apa yang kita dapat secara percuma tidak akan dihargai
sebab itu walaupun banyak BR1M diberi,” katanya sambil menambah: “Kalau
betul-betul daif, miskin dan tak berupaya barulah boleh diberi bantuan.”
Beliau berkata demikian apabila ditanya mengenai cadangannya
untuk Belanjawan 2014 yang akan dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib
Tun Razak di Parlimen pada 25 Oktober ini.
Sementara itu, Dr Mahathir berkata ekonomi negara dijangka
tidak akan mengalami kesan yang besar akibat penutupan operasi kerajaan Amerika
Syarikat, ini kerana perdagangan dua hala antara kedua-dua buah negara kini
semakin berkurangan.
Beliau berkata jumlah dagangan negara tidak bergantung
sepenuhnya dengan ekonomi Amerika Syarikat, kecuali ia terjadi di masa yang
lepas.
“Kesannya sedikit sebanyak ada, tetapi kita bukan berdagang
semuanya dengan Amerika Syarikat,” katanya.
Dr Mahathir berkata jumlah perdagangan Malaysia dengan
Amerika Syarikat mencapai 20 peratus satu masa dahulu tetapi sekarang sudah
merosot kerana kemampuan membeli di Amerika Syarikat telah berkurangan.
Operasi kerajaan Amerika Syarikat terpaksa dihentikan
selepas Kongres menolak pelan kesihatan yang dibawa Presiden Barack Obama. –
BERNAMA
0 comments:
Post a Comment