January 17, 2013

BERITA : Kronologi Kes Listen Bawani oleh Mahasiswa UUM

Leave a Comment

Oleh : Mahasiswa UUM 

Daripada seorang sahabat yang ada di tempat kejadian #Listen. sila lihat kronologi di bawah.
Saya akan cuba jelaskan apa yang berlaku kerana saya adalah salah seorang yang berada di dalam dewan terbabit dan mengikuti perkembangan forum ini seawal seminggu sebelum forum ini berlangsung, kerana minat sebagai seorang mahasiswa terhadap tajuk forum berkenaan pada awalnya. Saya akan cuba jelaskan dalam bentuk kronologi;
[SEBELUM PROGRAM]
Seminggu sebelum forum ini berlangsung, saya sudah mendaftarkan diri sebagai peserta sewaktu borang pendaftaran diagihkan di dalam kelas. Kenapa saya begitu cepat untuk mendaftarkan diri? Adakah saya ini peminat Puan Sharifah? Harus untuk kamu semua tahu, bahawasanya sewaktu publisiti program itu digembar-gemburkan beberapa perkara menarik minat diri ini untuk turut serta;
[1] TAJUK
Tajuk forum pada hari kejadian yang digembar-gemburkan ialah "Seiringkah Mahasiswa Berpolitik?" cukup jelas dan umum. Ini perkara pertama yang membuatkan saya mendaftar sebagai peserta tanpa berfikir panjang.

[2] MODERATOR
Moderator pada hari kejadian dikatakan saudara yang saya hormati YDP MPPUUM (gambar) sendiri iaitu Saudara Ku Amirul, dia adalah pimpinan tertinggi di dalam kampus ini, wajar bagi saya menaruh harapan besar untuk mendengar penjelasan beliau tentang "SEIRINGKAH MAHASISWA BERPOLITIK?".
[3] MISTERI PANELIS
Panelis jemputan pada hari kejadian di"rahsia"kan, saya ini jiwa ingin tahu, jiwa mencari ilmu, jiwa mencari solusi, apabila panelis di"rahsia"kan, hati saya membuak-buak mencari siapakah mereka? Sememang hati saya berteka-teki mungkinkah tokoh-tokoh ilmuan negara? Ataupun ahli akademik yang berautoriti tinggi akan mengupas tajuk ini.
Tiga point di atas menjadikan saya mungkin antara peserta terawal mendaftar, nampak seperti gelojoh, tapi gelojoh saya gelojoh gilakan "ilmu".
Adakah persoalan saya "SEIRINGKAH MAHASISWA BERPOLITIK" selama ini akan dijawab pada hari kejadian dengan berlandaskan prinsip-prinsip ilmu dan keterbukaan agama?
[SEWAKTU PROGRAM]
~SEJAM AWAL PROGRAM~
Saya berada di sana 9.15 pagi lebih kurang. Sewaktu penulis sampai, makan pagi disediakan, makanan disediakan untuk 2000 peserta, "tingginya peruntukan program ni". Saya masuk dewan, dan saya lihat background pentas tertulis satu tajuk yang berlainan dengan apa yang saya ketahui sebelum ini, adakah tajuk diubah? Menunggu dan menunggu lebih kurang pukul 10 pagi barulah persoalan penulis terjawab dengan ketibaan VIP jemputan dan panelis diumumkan.
Antara 4 panelis :
1. Presiden Pertubuhan Suara Wanita 1Malaysia
2. Peter Yap (salesman)
3. Gulam Muzafar (banker)
4. Mazli Mutazam (Pengetua Kolej Proton, UUM)
~ 2 JAM AWAL PROGRAM~
Saya sedikit kecewa dengan senarai panelis yang ada namun kerana jiwa ini dahagakan penjelasan mengenai isu ini, terus berada di dalam dewan terbabit moga-moga, mereka dapat mengulas tajuk ini dengan baik. Malang kerana apa yang saya hajati tak tercapai dan lebih malang lagi forum telah berubah kepada isu kepimpinan wanita, dan ini senarai isu yang dimainkan
[1] Ambiga pencetus demokrasi.
[2] Kes Nurul Izzah dengan kebebasan beragama.
[3] Bersih.
[4]Mahasiswa berdemonstrasi PTPTN.
Dari 10.00 pagi sehingga 12.30 tengah hari, isu ini lah yang diulas, langsung tiada hujah ilmiah dan hanya membawa pandangan sebelah pihak, berulangkali panelis-panelis di atas sana menyatakan bahawa mereka tidak berpolitik kepartian tetapi ingin menunjukkan pimpinan wanita yang bermasalah di negara dan ingin dijadikan iktibar, saya akur! Tapi kenapa pimpinan pembangkang sahaja yang diserang? Maksumkah pimpinan wanita kerajaan? Mana kes menteri Shahrizat Jalil dengan NFC? Kes "First Lady" Rosmah Mansur dengan cincinnya? Satu sahaja ingin saya utarakan, adakah adil kamu menyerang sebelah pihak hanya kerana "mereka" berhaluan kiri?
~SEJAM SEBELUM TAMAT PROGRAM~
Saya melihat di sebelah, seorang peserta sedang menulis di satu helaian borang. Bila saya perhatikan, ada yang tidak kena dengan helaian borang ini, yang menganjurkan adalah NGO tetapi kenapa di bawah helaian kertas ini berisikan biodata diri dan tempat mengundi dun dan parlimen.
Bila saya tanya kepada peserta terbabit dari mana datangnya, rupanya borang itu diedarkan awal program lagi, patutlah saya tak dapat kerana agak lewat. Saya ambil gambar borang untuk mencari jawapan kenapa borang ini agak ganjil pada pandangan saya. Kemudian sesi soal jawab dibuka, saya sudah bersedia ingin bertanya, malang terus berpanjangan apabila dua soalan sahaja dibuka. Tidak sempat saya sampai di mikrofon untuk bertanya soalan di tengah-tengah dewan itu sesi soalan telah ditutup. Saya mula rasa "semacam". Saya tahu bukan saya sahaja yang ingin bertanya tetapi tidak berkesampaian, selepas jawapan diberikan oleh Puan Sharifah, tiba-tiba beliau meminta kami berdiri, dan kemudian YDP MPP menjadi ketua membaca ikrar. Saya tidak mengikutnya kerana saya langsung tidak jelas apa yang ingin diikrarkan sebenarnya (mungkin tidak teratur seperti yang sebenar tetapi secara asas beginilah).
~MISS BAWANI MENGHANGATKAN SUASANA~
Selesai sahaja ikrar, sejurus sahaja semua dipersilakan duduk, sedang asyik Puan Sharifah bercakap di hadapan, satu suara minta untuk diberi perhatian kerana ingin melontar pendapat. Ya itu adalah Bawani. Perisitwa inilah yang menjadi bualan sekarang, dan mengegar satu Malaysia, saya mempunyai beberapa pandangan yang berbeza dalam kejadian ini.
[1] Menyokong TINDAKAN Bawani.
Saya bersetuju dengan apa yang DIPERSOALKAN oleh Bawani, sahabat-sahabat yang tidak berada di majlis berkenaan perlu tahu kami menghabiskan masa selama 3 jam untuk mendapat ilmu pengetahuan, tetapi hanya provokasi murahan dengan melabel dan mengecam "mereka" yang berhaluan kiri. Tajuk forum telah lama terbabas. Dan pihak penganjur mempersoalkan kenapa tidak bertanya sewaktu sesi soal jawab dibuka, saya rasa penganjur perlu sedar bahawasa penganjur hanya membuka 2 soalan untuk kami bertanya sedangkan TAJUK forum belum lagi terungkai! Hujah Miss Bawani cukup padu dengan fakta numberic dan perbandingan dengan negara-negara luar, syabas untuk Miss Bawani.
[2] Tidak Menyokong NADA SUARA Bawani
Saya yang berada di majlis berkenaan kurang bersetuju dengan nada suara yang digunakan oleh Miss Bawani. Nada suara yang digunakan agak terbabas dari kawalan emosi, mungkin sahabat pembaca tidak bersetuju dengan pandangan ini, tapi inilah pandangan saya yang berada disana, dengan nada suara yang agak tinggi, membuatkan peserta kurang jelas apa yang diperkatakan oleh Bawani sendiri, dan jika kamu berada di tempat kejadian, kamu akan berdebar, dan kelihatan seolah satu pergaduhan "tarik rambut" akan berlaku.
[3] Sepenuhnya Tidak Bersetuju Dengan Puan Sharifah
Puan Sharifah dikatakan mempunyai pendidikan yang tinggi dan dikhabarkan cukup profesional, tetapi respon terhadap kejadian ini cukup mendukacitakan. Puan Sharifah lebih berpengalaman, Puan Sharifah lebih intelektual, Puan Sharifah lebih matang sepatutnya dalam mengawal suasana seperti ini. Dengan hujah Bawani yang matang, malangnya Puan Sharifah telah mengambil satu keputusan cukup memalukan, dengan beranalogi suatu yang tidak patut, menghina, merendahkan suara mahasiswi. Sememang wajar jika Puan Sharifah MEMOHON MAAF kepada Miss Bawani pada pandangan saya.
Selesai selesai sesi "PANAS" ini, forum berlangsung dengan penuh meriahnya bersama "GALAXY NOTE CLONE".
[SELEPAS PROGRAM]
Selesai forum, 2000 peserta sekali lagi diberi makanan tengah hari percuma. Ramai yang berbicara kejadian panas ini, tetapi hanya berlegar di kalangan pelajar UUM. Ada yang menyokong dan ada yang mengkeji tindakan Bawani. Tetapi sebulan selepas program ini berlangsung barulah isu ini tersebar dan menjadi bualan seluruh Malaysia.

PANDANGAN PERIBADI PENULIS
SAYA MENYOKONG BAWANI SEPENUHNYA CUMA MUNGKIN PERLU DIBAIKI BEBERAPA PERKARA, DAN KEPADA PEMBACA NILAILAH SENDIRI. CUMA YANG MASIH MENJADI PERSOALAN SAYA, PERUNTUKAN YANG CUKUP TINGGI DIPERLUKAN UNTUK PROGRAM SEPERTI INI (2 KALI MAKAN UNTUK 2000 PESERTA, 10 GALAXY NOTE CLONE TIDAK TERMASUK SAGUHATI) DARI MANA DATANGNYA UNTUK PROGRAM YANG SEBEGINI RENDAH KUALITINYA???

0 comments:

Post a Comment

.