Assalamualaikum dan salam sejahtera, sekali mambang ucapkan terima kasih kepada anda semua yang tak henti-henti untuk membaca isi yang ada dalam blog mambang ini. Baiklah, hari ini mambang terjumpa lagi satu post menarik di Facebook mengenai kes yang ada kaitan tentang entry mambang yang semalam iaitu tentang "Forum Suara Mahasiswa" yang bertajuk "Seiringkah Mahasiswa Berpolitik".Tetapi kali ini mambang akan keluarkan sejenis post yang berbentuk surat yang dikarang oleh mahasiswa pasca-ijazah dalam bidang Pengajian Masa Depan di Fakulti Pendidikan di Universiti Malaya. Antara isinya adalah seperti ini ;
"Universiti atau Tadika?
Bawani memulakan komen beliau dengan bertanya kepada Saudari mengenai tuduhan terhadap Ambiga (Pengerusi bersama Bersih) sebagai pencetus anarkis di Malaysia dan Pak Samad sebagai pencetus kepada orang-orang gila yang membuat demonstrasi jalanan. Beliau kemudiannya menjelaskan kepada sidang dewan mengenai pergerakan Bersih yang menurutnya sah di sisi undang-undang serta sebuah gerakan non-partisan.
Perkara pertama yang tidak saya fahami ialah mengapa Saudari perlu turun ke bawah dewan untuk berhadapan dengan Bawani? Adakah sudah menjadi kebiasaan di Universiti Utara Malaysia (UUM, lokasi forum ini diadakan) panelis akan turun dan ‘confront’ audien secara berhadapan? Dalam sebuah forum di negara yang matang saya tidak fikir ‘intimidation’ sebegini perlu.
Kemudian Bawani meneruskan komen beliau dengan memberi contoh negara seperti Argentina, Venezuela dan Brazil yang dikatakan memberi pendidikan percuma kepada rakyatnya bermula dari prasekolah sehingga kepada ijazah pertama. Seterusnya Bawani memperkatakan mengenai keupayaan PTPTN melalui matematik mudahnya iaitu peruntukan sebanyak 10 bilion daripada keseluruhan 200 bilion perbelanjaan Persekutuan dengan memberi contoh Cuba sebagai negara yang pernah melakukannya. Lebih menarik Bawani melakukannya dengan membentangkan tahap literasi Cuba sebagai yang tertinggi di dunia.
Kemudiannya situasi menjadi lebih menarik. Bawani membentangkan GDP Cuba (saya tertanya-tanya apakah jurusan pengajian saudari Bawani?) namun malangnya ketika saya teruja untuk mendengar hujah lanjut Bawani, hujah beliau disambut dengan 10 kali lafaz ‘Listen’ oleh Saudari! Soalan kedua saya ialah, berapa minit komen yang diberikan kepada audien untuk bertanya soalan serta apakah tindakan ini dilakukan semata-mata untuk menutup keupayaan hujah Bawani?
Sebagai ahli akademik saya percaya kepada kebebasan berhujah dan berbeza pendapat. Saya percaya kewibawaan Saudari akan lebih dihormati sekiranya hujah dibalas hujah, bukan hujah dibalas ‘Listen’. Lebih ironi, Saudari kemudiannya mengucapkan ‘Let me speak’ sehingga 7 kali! Saya begitu hairan, dalam bidang pedagogi selalunya perkataan diulang-ulang digunakan hanya untuk anak-anak prasekolah, bukan mahasiswa dengan fakta literasi dan GDP. UUM ini universiti atau tadika?
Hujah vs hujah
Seterusnya saya tidak berminat untuk mengulas mengenai hujah balas Saudari kepada Bawani mengenai ‘When I speak, you listen’, ‘jangan samakan negara lain dengan Malaysia’, ‘apa yang kamu buat di Malaysia, go to Cuba, go to Argentina, go to Libya’ (Libya?), ‘you must understand what is democracy, you must understand – what is perhimpunan lebih dari 3 orang di sesebuah tempat’, ‘animals have problem’, ‘kucing ada masalah’, ‘anjing boleh menggonggong’, ‘lembu kambing ada masalah’, ‘kita manusia lebih rakus daripada ikan’, ‘and you tau tak binatang apa yang paling banyak sekali masalah?’, ‘pernah makanshark finn?’ atau ‘you are very much to go to another university’.
Saya tidak nampak kaitan fakta yang dibentangkan oleh Bawani bermula dari jumlah perbelanjaan negara serta idea untuk pendidikan percuma sehingga kepada GDP negara Cuba dengan jawapan Saudari seperti ‘pernah makan shark finn?’. Saya cuma terkesan apabila Bawani cuba menggunakan bahasa Melayu asas dengan saudari, saudari balas dengan bahasa Melayu rojak.
Saya fikir bukan ini caranya seseorang dengan status ‘degree holder’ seperti Saudari berhadapan dengan mahasiswa seperti Bawani. Saya sendiri tidak berapa setuju dengan hujah Bawani. Faktor sosial, budaya dan georgrafi negara kita sangat berlainan dengan Cuba dan tidak memungkinkan perumpamaan mudah GDP untuk digunakan sebagai hujah.
Walaubagaimanapun saya percaya Malaysia sedang mengalami fasa-fasa menuju kematangan demokrasi. Oleh yang demikian di dalam sebuah universiti yang subur budaya ilmu dengan golongan intelek dan terpelajar, hujah perlu dijawab dengan hujah, bukan dengan ‘When I speak, you listen!’.
Fungsi Mahasiswa
Saya kini dengan rendah diri ingin mengajak Saudari kembali merenung fungsi golongan mahasiswa. Saya percaya ilmu yang terbaik ialah ilmu yang kembali kepada masyarakat. Oleh yang demikian graduan yang paling bermanfaat ialah graduan yang kembali ke masyarakat untuk menyelesaikan 1001 masalah negara.
Dalam Indeks Kebebasan Media, kita berada pada kedudukan 122, di bawah Sudan dan Congo. 10 tahun kebelakang ini berdasarkan Bank Dunia, kenaikan gaji purata rakyat Malaysia hanyalah 2.6% di belakang kadar inflasi iaitu 2.8%. Data Epu/HIS menyatakan jurang pendapatan di kalangan rakyat semakin meningkat dengan 52.8% isi rumah memperoleh pendapat kurang daripada RM 3000 sebulan.
Kedudukan Malaysia di dalam indeks pendidikan antarabangsa seperti PISA dan juga TIMSS juga turun mendadak (PISA 2009, 55 daripada 74 negara; TIMSS 2011 – Matematik daripada 519 kepada 440, Sains daripada 492 kepada 426). Inilah masanya untuk kita gunakan mahasiswa sedia ada dalam bidang masing-masing samada pendidikan, ekonomi mahupun sains sosial untuk berdebat dan berhujah tentang masalah-masalah tersebut.
Sebagaimana yang pernah saya tulis sebelum ini, ketakutan saya ialah apabila mahasiswa yang ada kini sibuk bermain Dota, Facebook, menonton Raja Lawak atau sibuk memuat turun siri kegemaran drama Korea. Graduan harus berfikir lebih jauh daripada kerja, kahwin, beli kereta, rumah dan ‘settle down’.
Fungsi mahasiswa yang sebenar ialah melibatkan diri dengan keputusan kerajaan serta memperkasa masyarakat dengan melengkapkan mereka dengan isu semasa, masalah sosial, isu masyarakat marginal serta golongan tertindas. Golongan terpelajar ini kelak akan memimpin negara, seharusnya asas perjuangan mereka sejak dari awal diletakkan lebih besar dari berkhidmat kepada diri sendiri.
Apa selepas ini?
Saya tidak menulis mewakili Bawani. Jauh sekali mewakili mana-mana gerakan mahasiswa dalam negara. Saya hanya menjalankan tanggungjawab kerana rasa terpanggil akibat status saya sebagai mahasiswa juga. Dan semestinya lorong menggerakkan mahasiswa dan perubahan itu pelbagai. Saya setuju tidak semestinya gerakan mahasiswa itu terdorong untuk berjuang atas ‘politik-merengek’ sahaja, baring-baring atas jalan raya, demonstrasi ataupun berkhemah di Dataran Merdeka.
Tetapi saya juga percaya gerakan yang sama juga tidak akan terbina hanya melalui lawatan ke rumah anak yatim, rumah angkat di kawasan pedalaman (tanpa meremehkan prorgram terbabit) ataupun program-program dalaman universiti ala-ala sambutan tahun baru yang membosankan. Saya percaya asas kepada perjuangan mahasiswa ini ialah ilmu dan sikap. Saya menjemput Saudari untuk membaca karya Ali Shariati khususnya makalah ringan ‘Ideologi Kaum Intelektual’. Namun jika Saudari begitu sibuk dengan persatuan ‘Suara Wanita 1 Malaysia’, saya sedia meminjamkan buku tersebut untuk dibaca oleh saudari.
Saya juga percaya sebenarnya banyak forum-forum sebegini diadakan di seluruh negara namun mereka bijak kerana tidak memuat naik ke atas talian. Malah perkara yang paling sedih dan memalukan ialah sikap mahasiswa di dalam dewan yang bertepuk tangan dan menjerit menyatakan sokongan ketika Sharifah memalukan Bawani dengan serangan peribadi. Berbanding dengan kemarahan warga Internet melalui Twitter dan Facebook; saya melihat jalan ke hadapan mahasiswa untuk berubah masih panjang dan penuh ranjau. Bayangkan dalam dewan dengan 2300 warga mahasiswa, mereka hanya mampu memeluk diri, tersenyum dan menepuk tangan ketika Bawani diperlakukan sedemikian rupa di dalam institusi pengajian tinggi mereka.
Untuk Saudari Sharifah, saya menunggu balasan daripada Saudari. Mungkin jika Saudari berkelapangan saya akan usahakan agar sebuah forum lanjutan dapat diadakan di Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya untuk menggalakkan penggunaan akal, etika dan anti korupsi di kalangan mahasiswa 1 Malaysia. Saya akhiri surat ini dengan bait dari Buya Hamka;
Kalau hidup sekadar hidup,
babi di hutan juga hidup.
Kalau bekerja sekadar bekerja,
kera di hutan juga bekerja.
Izinkan saya menyambung sedikit kiasan Buya Hamka di atas;
Kalau mahasiswa setakat belajar,
Lembu di padang juga belajar.
(Selain belajar untuk membuang air, lembu juga belajar untuk membiak)
* Zul Fikri Zamir Mohamad Munir ialah kolumnis di The Malaysian Insider serta Co-Founder Teach For The Needs (TFTN), sebuah gerakan aktivis pendidikan yang boleh dicapai di
sumber dari ; ProjekDialog.Com
0 comments:
Post a Comment