KAJANG – Seorang bekas ahli kumpulan hip hop
terkenal tanah air dihukum penjara 20 tahun dan 10 sebatan oleh Mahkamah Sesyen
di sini, hari ini, selepas didapati bersalah merogol anak tirinya yang berusia
14 tahun, tahun lalu.
Hakim Nor Hazani Hamzah menjatuhkan hukuman tersebut ke atas
lelaki yang berusia 38 tahun itu setelah mendapati pihak pendakwa berjaya
membuktikan kes tanpa keraguan munasabah.
Bapa kepada dua anak itu yang kini merupakan guru vokal di
beberapa kementerian dan agensi kerajaan kelihatan tenang dan hanya menundukkan
wajah ketika hakim membuat keputusan tersebut.
Dalam penghakimannya, Norhazani berkata, keterangan mangsa
telah disokong saksi-saksi lain yang tampil memberi keterangan termasuk guru
kaunselingnya.
“Saya percaya pada keterangan saksi pendakwaan kerana semua
saksi bebas, ditambah kenyataan pegawai perubatan yang mengesahkan koyakan pada
alat sulit mangsa,” katanya.
Bagaimanapun menurut hakim, keterangan salah seorang saksi
pembelaan mengukuhkan lagi pendakwaan, tetapi tertuduh tidak membuat sebarang
laporan polis.
“Keterangan yang diberikan semasa pembelaan gagal
menimbulkan keraguan munasabah, tertuduh disabitkan dengan kesalahan,” katanya.
Sementara itu, tertuduh yang diwakili peguam Azmi Talib dan
Mohamad Burok memohon hukuman minimum kerana dia kini menanggung dua orang
anaknya yang masing-masing berusia 9 dan 7 tahun.
Timbalan Pendakwa Raya, Noor Fazlin Abd Zawawi pula memohon
mahkamah memberikan hukuman maksimum sebagai pengajaran kerana tertuduh
merupakan bapa tiri kepada mangsa.
Noor Fazlin menambah, tertuduh sepatutnya menjadi pelindung
dan memberikan kasih sayang kepada anak tirinya yang sedang membesar.
Hakim seterusnya mengarahkan agar mangsa dipanggil ke
mahkamah untuk memberikan kenyataan berkaitan kesan kejadian tersebut terhadap
dirinya.
Semasa dipanggil memberi kenyataan, sambil menangis mangsa
berkata, dia kini berasa tidak selamat, fobia, dan jijik pada diri sendiri
selepas kejadian tersebut.
“Saya rasakan masa depan begitu gelap. Saya takut untuk ke
sekolah dan merasai tekanan setiap hari.
“Malah saya jadi takut pada ayah kepada rakan-rakan saya dan
guru lelaki,” katanya yang kini ditempatkan di rumah perlindungan.
Mangsa turut menyatakan dia kini hilang kepercayaan pada
orang lain meskipun pada ahli keluarga sendiri.
Berdasarkan kertas pertuduhan, bekas ahli kumpulan hip hop
itu didakwa merogol anak tirinya yang ketika itu berusia 14 tahun di sebuah
rumah, di Taman Gombak Jaya, jam 9 pagi pada 9 Februari tahun lalu.
Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376
(3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan
sebat jika disabit kesalahan.
Peguam tertuduh, Azmi Talib memohon mahkamah menangguhkan
hukuman penjara tersebut kerana tertuduh mahu memfailkan rayuan di Mahkamah
Tinggi terhadap keputusan itu.
Mahkamah membenarkan penangguhan hukuman, bagaimanapun,
jaminan ditingkatkan kepada RM80,000 dengan seorang penjamin serta syarat
tambahan iaitu tertuduh perlu melapor diri di balai polis berhampiran setiap
bulan.
Sepanjang perbicaraan, seramai lapan saksi pendakwaan dan
enam saksi pembelaan dipanggil memberi keterangan.
0 comments:
Post a Comment