KUANTAN – Sejumlah serbuk dan ketulan kristal dipercayai
syabu ditemui dalam dompet seorang pegawai kanan polis yang cedera parah dalam
kemalangan jalan raya di sini, semalam.
Serbuk dan ketulan kristal seberat 0.8 gram itu ditemui
pihak hospital ketika pegawai berkenaan dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan
Kuantan (HTAA) di sini, kata sumber polis.
“Paket plastik lutsinar berisi serbuk dan ketulan kristal
yang disyaki syabu itu telah diserahkan petugas hospital kepada pihak polis Ibu
pejabat Polis Daerah Kuantan pada 12 tengah hari semalam.
“Siasatan awal mendapati barang kes itu dijumpai pada
dompet pegawai polis berkenaan yang bertugas di negeri ini,” kata sumber itu
kepada Bernama di sini, hari ini.
Menurut sumber itu Bahagian Tatatertib Polis Pahang telah
diarah memulakan siasatan terhadap kes berkenaan.
Sementara itu, Pegawai Penguatkuasa Tadbir/Trafik Ibu
Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang ASP Zainalabidin Othman berkata pegawai
berkenaan cedera parah apabila kereta yang dipandunya melanggar belakang lori
treler membawa muatan konkrit di Jalan Kuantan By Pass pada pukul 7 pagi
semalam.
Ketika kejadian pegawai berkenaan dalam perjalanan dari
Kuantan menghala ke Gebeng.
“Pegawai itu cedera parah…mengalami pendarahan pada bahagian
dalaman perut dan patah lutut kiri,” katanya. – BERNAMA
0 comments:
Post a Comment