PETALING JAYA: Seorang pelakon baharu yang mendakwa dicabul
oleh seorang pengarah drama pada minggu lalu berasa lega apabila individu itu
ditahan polis pada Rabu lalu bagi membantu siasatan.
Pelakon yang mahu dikenali sebagai Ffarrah Ismail, 23,
berkata, dia menganggap maruahnya terbela dengan penahanan itu dan berharap kes
cabul tersebut dapat dilaksanakan seadil mungkin agar menjadi pengajaran kepada
semua pihak.
“Apabila mendapat tahu dia ditahan, saya rasa maruah saya
akhirnya terbela selepas beberapa bulan saya simpan rahsia ini kerana terlalu
takut. Sekarang ini ia sudah pun menjadi kes polis dan kita tunggu sahaja apa
akan berlaku,” katanya.
Ffarrah ditemui pada sidang media khas anjuran Persatuan
Karyawan Malaysia (Karyawan) yang ingin membela nasib pelakon baharu itu di
Plaza Damansara, di sini, Khamis.
Bagaimanapun wanita ini memohon agar wajahnya dikaburkan
semata-mata ingin mengelak daripada menjadi perhatian ramai.
Turut hadir Presiden Karyawan, Datuk Freddie Fernandez.
Pada 17 Jun dan 23 Jun lalu, Ffarrah telah membuat laporan
masing-masing di Balai Polis Mutiara Damansara di sini dan Tampin, Negeri
Sembilan dengan mendakwa seorang pengarah drama berusia 60-an yang memegang
jawatan dalam sebuah persatuan seni telah mencabulnya ketika di lokasi
penggambaran.
Dalam penggambaran yang dijalankan awal bulan Januari lalu
di Tampin itu, Ffarrah mendakwa telah dicabul beberapa kali dan turut dipaksa
menjadi pembantu peribadi pengarah itu bagi memudahkan dia mengambil
kesempatan.
Tambah Ffarrah, dia tidak menyangka banyak cabaran yang
perlu dilaluinya untuk bergelar seorang pelakon.
Sementara Freddie berkata, pihaknya akan membantu Ffarah
dalam memastikan dia tidak membuat sebarang tindakan melulu selain akan memberi
pandangan daripada aspek perundangan untuk kes tersebut.
“Sebagai persatuan yang membantu artis-artis negara ini,
pihak kami ingin menolong Ffarrah dalam menyelesaikan masalahnya dengan
menghulurkan bantuan guaman selain memberikan khidmat nasihat kepadanya,” kata
Freddie.
Terdahulu akhbar pada Khamis melaporkan seorang pengarah
drama telah ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung kes cabul selepas
mendapat laporan daripada pelakon baharu.
Ketua Polis Daerah Tampin, Superintenden Wooi Kooi Cheang
berkata, pengarah tersebut ditahan ketika hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah itu
bagi membantu siasatan berhubung laporan berkenaan.
Kes tersebut akan disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun
Keseksaan kerana mencabul.
0 comments:
Post a Comment