November 07, 2013

BERITA : Nazar Jalan Kaki Dari Masjid Negeri ke Stadium Shah Alam

1 comment

Kuantan: "Doakan saya supaya nazar saya tertunai," kata Abdul Majid Abdul Hamid, pengawal keselamatan yang berjalan kaki sejauh kira-kira 280 kilometer (km) bermula dari Masjid Negeri, di sini, ke Stadium Shah Alam, Selangor demi menunaikan nazarnya selepas Tok Gajah berjaya merangkul Piala Malaysia, baru-baru ini.

Abdul Majid, 57, yang baru sampai di Hentian Rehat Maran, Lebuhraya Pantai Timur (LPT) berkata, dia tidak berdepan sebarang masalah malah mendapat bantuan orang ramai yang mengetahui hasrat berjalan kaki ke Stadium Shah Alam.

 "InsyaAllah saya akan dapat tunaikan nazar ini. Jangan risaukan saya," katanya yang dihubungi semalam. Menurutnya, ada juga di kalangan pengguna lebuh raya yang memberi sedikit sumbangan kewangan kepadanya sebagai perbelanjaan pengembaraannya.

Sementara itu, rakannya, Abdullah Othman, 51, berkata dia menasihatkan Abdul Majid berjalan kaki menggunakan laluan sebelah kanan lebuh raya ke arah Kuala Lumpur kerana bimbangkan keselamatannya.

 "Saya minta dia berjalan secara berlawan arus supaya dia boleh nampak kenderaan datang dari hadapan," katanya.

Harian Metro semalam melaporkan Abdul Majid memulakan pengembaraannya pada jam 6.45 pagi dari Masjid Negeri, di sini, kelmarin dan dia menjangkakan tiba ke Stadium Shah Alam pada 12 November ini.

Dia hanya berbekalkan wang tunai RM60, Jalur Gemilang dan bendera Pahang, sehelai kain pelikat, dua jersi Pahang serta dua seluar sukan sepanjang perjalanannya itu.

 Menurutnya, semua perbelanjaan juga ditanggung wang poket sendiri tanpa mengharapkan sesiapa malah dia juga tidak mahu mendapat sebarang pengiktirafan.


 "Apa yang saya lakukan hanyalah untuk membayar nazar dan janji saya kepada Allah kerana saya sangat gembira dengan kemenangan skuad Tok Gajah. Biarlah apa orang mahu katakan, saya hanya mahu berjalan kaki sehingga ke Stadium Shah Alam," katanya. 

1 comment:

.