October 05, 2013

INFO : Liku-Liku Kehidupan Tan Sri P Ramlee

Leave a Comment

p/s : lampiran khas video suka-duka hidup Tan Sri P Ramlee di akhir entry ini

P.Ramlee atau nama sebenarnya Teuku Zakaria bin Teuku Nyak Puteh dilahirkan di Pulau Pinang pada pagi Hari Raya Aidilfitri bersamaan Rabu , 22 Mac 1929. Bapanya seorang ahli pelayaran yang berasal dari Lho’Seumawe, Acheh telah berkahwin dengan Che Mah binti Hussien pada tahun 1925 di Kubang Buaya, Butterworth.


P.Ramlee telah mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Kampung Jawa dan seterusnya di Penang Free School sehingga meletusnya Perang Dunia Kedua. Semenjak di bangku sekolah lagi, P.Ramlee telah menunjukkan minat dan bakat dalam bidang seni, terutamanya dalam seni muzik.Di Penang Free, P.Ramlee belajar seni muzik dengan Encik Kamaruddin iaitu pemimpin Brass Band di sekolah tersebut.





Semasa pendudukan Jepun di Malaya, P.Ramlee pernah memasuki sekolah tentera laut Jepun ( Kaigun ).Di sini beliau berpeluang mempelajari lagu-lagu Jepun. Penglibatan beliau dalam dunia muzik bermula dengan pancaragam "Teruna Kampung". Dalam pertandingan keroncong seluruh Pulau Pinang dan Seberang Perai yang diadakan dalam tahun 1947, pancaragam beliau menjadi juara dengan lagu 'Keroncong Oh Suci' yang dinyanyikan oleh P.Ramlee.

Pada tahun yang sama, beliau terpilih sebagai "Bintang Penyanyi Utara Malaya" dalam peraduan menyanyi anjuran Radio Pulau Pinang. Untuk pertandingan tersebut , beliau telah menggunakan huruf ‘'P' ( huruf potongan bagi Puteh iaitu nama bapanya ). Nama P.Ramlee kini kekal sehingga kini.



 Pada tahun 1948, P.Ramlee telah mendapat tawaran sebagai penyanyi dan pelakon filem dari pengarah filem Shaw Brothers, B.S.Rajhans. Filem lakonan pertamanya ialah ‘'Chinta'‘ di mana beliau memegang watak sebagai seorang penjahat. P.Ramlee merupakan bintang filem melayu pertama yang boleh menyanyi tanpa menggunakan penyanyi latar.

Berkat dari kesungguhan dan rasa cinta beliau terhadap dunia perfileman, beliau berjaya mengarah filem pertamanya iaitu ‘ Penarek Becha ‘ pada tahun 1955. Filem ini telah terpilih sebagai filem terbaik dan beliau dipilih sebagai Pengarah Terbaik pada tahun 1956.





 Sebagai seorang seniman serba boleh, P.Ramlee telah menerima banyak anugerah untuk dirinya dan filem-filem arahannya. Filem 'Sumpah Orang Minyak' arahannya telah memenangi "Fotografi Hitam Putih Terbaik" dan filem "Pendekar Bujang Lapok" terpilih sebagai filem Komedi Terbaik di Pesta Filem Asia ke-6 pada tahun1959 di Kuala Lumpur. Begitu juga dengan filem "Nujum Pak Belalang" dan "Madu Tiga" telah memenangi anugerah 'Komedi Terbaik' pada tahun 1958.

Sebagai mengenang jasanya dalam bidang seni lagu dan perfileman, beliau telah dianugerahkan bintang Ahli Mangku Negara ( AMN ) oleh Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong pada 27 September 1962.

Pada tahun 1964, P.Ramlee berhijrah ke Kuala Lumpur dan bertugas di Studio Merdeka milik Merdeka Film Productions di Hulu Kelang. Sepanjang hayat P.Ramlee telah berlakon kira-kira 66 buah filem, mengarah 37 buah filem dan mencipta sebanyak 250 buah lagu. Namun setiap yang hidup pasti akan merasai kematian, awal pagi Selasa bersamaan 29 April 1973. P.Ramlee telah meninggal dunia secara mengejut akibat serangan sakit jantung ketika berusia 44 tahun. Beliau meninggal dunia di dalam ambulans sewaktu dalam perjalanan ke Hospital Besar Kuala Lumpur.


 Walaupun beliau sudah lama meninggalkan alam yang fana ini, jasa dan baktinya dalam arena seni sentiasa kekal dalam ingatan. Pada 6 Jun 1990, DYMM Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong ke-9 telah menganugerahkan beliau bintang Darjah Panglima Setia Mahkota ( DPSM ) yang membawa gelaran Tan Sri. 


 Hampir segala cabang seni hiburan mampu di kuasainya dan hingga kini, belum ada karyawan yang mampu menyamai pencapaian beliau, itulah Allahyarham Tan Sri P.Ramlee.

Penglibatan awal P.Ramlee dalam dunia seni hiburan mula terserlah apabila beliau dan pancaragamnya menjuarai Pertandingan Keroncong Seluruh Pulau Pinang dengan nyanyian lagu "Keroncong Oh Suci". Pada tahun yang sama, beliau terpilih sebagai "Bintang Penyanyi Utara Malaya" dalam peraduan menyanyi anjuran Radio Pulau Pinang.

Kehebatannya menarik perhatian B.S.Rajhans, pengarah filem dari Shaw Brothers, lalu mempelawa P.Ramlee berlakon dan filem pertamanya ialah "Chinta" yang diterbitkan pada tahun 1948. Dari situlah bakatnya mula menyerlah hingga dapat mengukuhkan nama beliau menerusi berpuluh-puluh filem.



 "Penarek Becha" adalah filem arahan pertamanya pada tahun 1955. Melalui filem "Anakku Sazali" (1957), P.Ramlee menjadi semakin masyhur dengan meraih anugerah "Aktor Terbaik Asia". Seterusnya beliau dicanang sebagai "The Most Versatile Talent" melalui filem "Ibu Mertuaku" dalam Festival Filem Asia Pasifik di Tokyo pada tahun 1963.

P.Ramlee juga berjaya mencatatkan sejarah apabila 3 filemnya "Nujum Pak Belalang" , "Madu Tiga" dan "Pendekar Bujang Lapok" berjaya membolot trofi Filem Komedi Terbaik di peringkat antarabangsa.



 Lebih menggembirakan lagi, pada tahun 1962 , P.Ramlee dianugerahkan bintang Ahli Mangku Negara ( AMN ) daripada Yang di-Pertuan Agong seterusnya Allahyarham dikurniakan darjah Panglima Setia Mahkota yang membawa gelaran Tan Sri daripada Sultan Azlan Shah pada tahun 1990.

Andai kata hayat Tan Sri P.Ramlee masih ada, kita sendiri tidak pasti apakah Allahyarham dihargai masyarakat hingga kini bergelar Tan Sri? Mereka yang mengenali Seniman Agung itu secara lahiriah pasti maklum, P.Ramlee mengharungi detik penghujung usia yang hiba dan memeritkan jiwa.

Siapa sangka, seorang yang dipuja, yang membawa keuntungan kepada pelbagai pihak, tiba-tiba ditempelak agar berhenti menyanyi ketika menghiburkan peminat di Stadium Chin Woo pada tahun 1973.

Lebih terguris lagi, apabila eksekutif syarikat rakaman EMI, Puan Devan, tanpa rasa malu dan terhutang budi meminta P.Ramlee agar tidak merakamkan lagi album dengan alasan lagu-lagunya sudah tidak laku dan lapuk ditelan zaman, ketika P.Ramlee datang menemuinya untuk bertanyakan album terbarunya.




 Itu belum lagi bagaimana P.Ramlee disisihkan oleh rakan dan anak didiknya sendiri, hingga membuatkan beliau merajuk lalu meninggalkan 'Perfima' bagi menubuhkan "Rumpun Melayu" yang mengusahakan Pawagam P.Ramlee.







 Pada hari kematian P.Ramlee, 29 April 1973, Shaw Brothers Cuma sekadar mampu menaja biskut kering kepada tetamu yang hadir pada hari tersebut. Ketika di dalam Perfima (Syarikat Usahasama P.Ramlee, Jins Shamsuddin, Abdullah Hussain, Jaafar Abdullah, Datuk HM Shah, Zainuddin Noordin ) P.Ramlee selalu disisihkan oleh rakan ahli dalam Perfima contohnya dalam suatu mesyuarat ketika membincangkan projek filem "Sandera" , seorang daripada ahli Perfima telah mengatakan yang Jins Shamsuddin lebih layak mengarahkan filem tersebut kerana ideanya masih 'fresh' sedangkan idea P.Ramlee sudah nak kering….dan sambil menambah, P.Ramlee hanya layak membuat lagu tema dan latar belakang filem itu sahaja. Alangkah sedihnya P.Ramlee ketika itu.














Begitulah nasib seorang seniman, ada pasang surutnya dalam mengharungi badai serta gelora persada seni negara.

Itulah kisah suka-duka yang beliau harungi sepanjang hidup beliau. Itulah penghargaan buat "Seniman Negara" Allahyarham Tan Sri P.Ramlee, bak kata pepatah melayu "harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama"

VIDEO SUKA DUKA P RAMLEE :


0 comments:

Post a Comment

.