SEGAMAT – Kerajaan hari ini disaran mengurangkan subsidi
harga gula secara berperingkat sebagai langkah menggalakkan rakyat mengurangkan
penggunaan bahan itu dalam makanan dan minuman sekaligus mengurangkan penghidap
diabetes.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata:
“Setakat ini bilangan penghidap diabetes di negara ini telah meningkat kepada
2.6 juta orang atau 15 peratus daripada jumlah penduduk Malaysia.
“Ini semua berlaku kerana rakyat kita tidak mengawal penggunaan
gula dalam makanan dan minuman,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan
kempen kesedaran diabetes dan gaya hidup sihat Parlimen Segamat di Dewan Orang
Ramai Pekan Buloh Kasap di sini.
Menurutnya penyakit kencing manis (diabetes) menjadi masalah
besar kepada negara kerana mereka yang menghidap penyakit itu akan berisiko
mengidap penyakit lain seperti masalah penglihatan dan penyakit buah pinggang.
Setakat ini katanya, dilaporkan terdapat seramai 16,000
orang pesakit buah pinggang dalam senarai menunggu untuk mendapatkan pemindahan
organ itu daripada penderma yang purata hanya terdapat seramai 40 hingga 50
orang setahun.
Beliau turut mencadangkan agar pekedai makanan dan minuman
tidak mencampurkan gula dalam minuman yang dipesan pelanggan sebaliknya
meletakkan gula dalam bekas berasingan supaya pelanggan boleh membuat pilihan
sama ada menggunakan gula atau sebaliknya dalam minuman. – BERNAMA
0 comments:
Post a Comment