MAYAT seorang daripada lima penjenayah dibawa masuk ke dalam trak polis untuk dibawa ke hospital |
Georgetown: Polis mengesahkan lima lelaki yang mati
selepas berbalas tembakan dengan polis di sebuah pangsapuri mewah di Sungai
Nibong di sini, semalam, adalah pembunuh upahan yang terbabit dalam 10 kes
bunuh di Pulau Pinang, Kedah dan Negeri Sembilan.
Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata,
penjenayah berusia antara 21 hingga 31 tahun itu juga dikenal pasti ahli
kumpulan kongsi gelap dan mereka bertindak mengikut arahan ketua untuk membunuh
sasaran yang ditentukan.
“Mereka juga didapati terbabit dalam beberapa kejadian bunuh
sebagai tindakan balas dendam berkemungkinan berkaitan perebutan kuasa dan
wang.
“Mereka tidak tinggal satu tempat bagi mengelak daripada
dikesan polis dan bergerak mengikut arahan dan sasaran,” katanya pada sidang media
di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang di sini semalam.
ANGGOTA forensik mengumpul bahan bukti di tempat kejadian. |
Hadir sama Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman
Datuk Hadi Ho Abdullah dan Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Rahim Hanafi.
Dalam kejadian jam 4.30 pagi semalam, lima lelaki berusia 21
hingga 31 tahun itu ditembak mati ketika serbuan sepasukan pegawai dan anggota
Bahagian Jenayah Berat (D9) Bukit Aman, IPK Pulau Pinang dan IPK Kedah di
pangsapuri mewah Century Bay di Sungai Nibong, di sini.
Suspek dikatakan baru seminggu tinggal di pangsapuri
berkenaan dan menyewa di kawasan eksklusif itu bagi melindungi kegiatan mereka.
Khalid berkata, suspek bertindak melepaskan tembakan
terhadap anggota yang melakukan serbuan sebelum tembakan balas terpaksa
dilakukan sebelum membunuh semuanya.
KHALID menunjukkan pistol yang digunakan penjenayah untuk berbalas tembakan dengan polis, semalam. |
Menurutnya, polis turut merampas tiga pucuk pistol yang
digunakan dalam kejadian itu dan senjata yang dirampas itu dikenal pasti
digunakan dalam beberapa kejadian bunuh sebelum ini.
“Siasatan lanjut sedang dijalankan dan ada lagi anggota kumpulan
yang masih bebas dan usaha mengesan mereka giat dilakukan,” katanya.
Khalid berkata, polis tidak pernah berdiam diri terhadap kes
tembak yang membabitkan pembunuhan, malah mengambil langkah menubuhkan pasukan
tindakan khas serta risikan untuk memberkas penjenayah termasuk ahli kongsi
gelap, pengedar dadah dan lain-lain.
“Malah, sejak Operasi Cantas Khas (Op Cantas) digerakkan di
seluruh negara Sabtu lalu, 200 orang ditahan di seluruh negara dan mereka kini
sedang dikenal pasti sebelum tindakan diambil mengikut Akta Pencegahan Jenayah
bagi tempoh 24 jam,” katanya.
Menurutnya, mereka yang ditahan akan melalui pelbagai
peringkat saringan termasuk pemeriksaan rekod jenayah lampau, ujian air
kencing, tubuh badan, kenderaan yang digunakan, kesalahan trafik, pengenalan
diri dan lain-lain yang berkaitan.
Katanya, operasi itu akan diteruskan dan pihaknya mendapati
masih ada ahli kumpulan tertentu bergiat aktif selain bergerak dari satu tempat
ke satu tempat lain mengikut arahan ketua kumpulan masing-masing.
“Polis sedang berbincang dengan Peguam Negara untuk
mengambil langkah memasang alat Peranti Pemantauan Elektronik (EMD) terhadap
bekas pesalah Ordinan Darurat (OD) bagi mengelak mereka gagal dikesan dan jika
dipersetujui ia memudahkan polis memantau pergerakan mereka,” katanya.
Op Cantas membabitkan sekatan jalan raya, pemeriksaan premis
perniagaan dan kediaman serta mengesan bekas banduan yang pernah ditahan
mengikut OD yang disyaki aktif semula dalam kegiatan jenayah.
0 comments:
Post a Comment