Pasangan kontroversi seks, Alvin Tan dan Vivian Lee telah
hadir ke pejabat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) di Kuala
Lumpur pada Isnin lalu.
Proses siasatan yang bermula lebih kurang jam 11 pagi itu
berakhir pada jam 9.30 malam.
Para wartawan daripada pelbagai agensi media cetak dan
elektronik berkampung di perkarangan pejabat
SKMM itu.
Tempoh siasatan yang melebihi 10 jam itu menimbulkan persoalan
dalam kalangan wartawan hadir.
Menurut sumber dalaman, siasatan terhadap kedua pasangan itu
mengambil masa yang lama kerana dikatakan siasatan bukan sahaja menjerumus
kepada kes terbaru malah melibatkan kes-kes sebelum ini.
Malah, cakap-cakap dalam pihak media turut meramalkan bahawa
SKMM turut bertindak secara serius kali ini dengan membuka kes-kes berkaitan
pasangan itu sebelum ini.
Dalam pada itu, Penasihat Komunikasi Strategik SKMM, Sheikh
Raffie Abd Rahman berkata, pihaknya masih menyiapkan kertas siasatan dan tidak
boleh menghebahkan isi kandungan siasatan tersebut.
“Kami tidak boleh bagi sebarang maklumat berkenaan kandungan
kertas siasatan.
“Setelah siap kertas siasatan, kami akan maklumkan kepada
wakil media dalam satu sidang media,” jelas Raffie ketika dihubungi MyNewsHub
semalam.
Kronologi kisah Alvin dan Vivian bermula pada 20 September
2012 apabila pasangan itu memuat naik gambar dan video lucah mereka menerusi
laman blog, Sumptous Erotica.
Kemudian mereka bertindak untuk menutup laman blog tersebut
dan bergiat secara aktif menerusi laman sosial Facebook.
Dalam pada itu, pasangan tersebut turut membuat beberapa
video berkenaan pandangan orang awam tentang beberapa topik berkaitan seks yang
dimuat naik menerusi laman video sosial, Youtube.
Malah, mereka juga pernah mempromosi parti seks menerusi
laman sosial Facebook.
0 comments:
Post a Comment