October 22, 2013

BERITA : Brunei laksanakan Undang-undang Berasaskan Al-Quran

Leave a Comment

Majlis Ilmu 2013 memberikan penekanan terhadap pentingnya melaksanakan undang-undang berdasarkan perintah Allah sesuai dengan tuntuan ajaran agama Islam yang menjamin keadilan dan kesejahteraan manusia berasaskan Al-Qur’an dan Sunnah.

Dengan membawa tema ‘Undang-Undang Jenayah Syar’iah Menjamin Keadilan dan Kesejahteraan Untuk Semua’, Majlis Ilmu tahun ini  menekankan kepentingan menjaga kesucian undang-undang jenayah Syariah tanpa mengubahsuai sesuka hati semata-mata menurut kehendak manusia.

Tema tersebut adalah bagi mendukung titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena ulang tahun Hari Keputeraan baginda ke-66, tahun lepas yang telah memperkenankan agar Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syar’iah yang mengandungi kesalahan-kesalahan yang dikenakan hukuman hadd, qisas dan ta’zir dilaksanakan di negara ini, di samping menguna pakai undang-undang sivil yang sedia ada menurut keperluan dan kesesuainnya.

Keadilan dan kesejahteraan adalah antara prinsip yang menjadi teras utama dalam sistem perundangan Islam bagi memastikan objektif ‘maqasid syariah’ terlaksana dan menghindarkan segala bentuk kezaliman.

Islam juga mengkehendaki ciri-ciri keadilan sentiasa terpelihara dalam setiap prosiding kehakiman, sama ada dalam peringkat penyiasatan, pendakwaan, perbicaraan, pembelaan, penghakiman, pensabitan, hukuman dan pelaksanaan hukuman.

Semua peraturan atau undang-undang dalam Islam mempunyai tujuan dan matlamat tertentu iaitu untuk menjaga lima perkara iaitu pertama, menjaga Ugama;  kedua, menjaga Nyawa dan Tubuh Badan; ketiga  Menjaga Akal; keempat, Menjaga Keturunan dan kelima, Menjaga Harta.

Undang-Undang Jenayah Syar’iah bertujuan untuk mencegah jenayah dengan menekankan manfaat serta menghindarkan mudarat yang mana setiap perintah dan larangan Allah pasti mempunyai hikmah yang tertentu.

Selain menghukum pesalah, Undang-Undang Jenayah Syar’iah juga mempunyai maksud tersirat seperti mendidik diri pesalah (ta’dib), memberi peluang untuk menyesali perbuatannya (taubat), membersihkan diri dari dosa, menggalakkan kemaafan, bertolak ansur (sulh) serta menyelamatkan pesalah daripada azab akhirat.

Bagi memberkesankan pelaksanaan undang-undang tersebut, kewibawaan, kebijaksanaan serta komitmen padu semua pengamal undang-undang adalah amat diperlukan dalam memastikan keadilan sentiasa terlaksana seperti mana yang diperintahkan oleh Allah Subhanahu Wata’ala dan Rasul-Nya sejajar dengan hasrat murni Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.


sumber : PelitaBrunei

0 comments:

Post a Comment

.