Bekas Menteri Besar Kedah Tan Sri Azizan Abdul Razak meninggal
dunia di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar pagi ini, selepas lebih
empat bulan mengalami masalah kesihatan yang serius.
Bernama melaporkan Timbalan Pengarah Perubatan 1 HSB Dr
Norzaini Morad berkata Azizan disahkan meninggal dunia pukul 11.05 pagi
berikutan jangkitan kuman dan kegagalan organ dalaman yang pelbagai.
Katanya keadaan Azizan yang dipindahkan dari Hospital Pulau
Pinang (HPP) ke HSB bulan lepas mula kritikal sejak pagi semalam selepas
mengalami serangan jantung.
azlan"Rawatan agresif telah diberikan dan antibiotik
terbaik juga diberikan. Jangkitan kuman mungkin berpunca daripada keadaan
pesakit yang lemah. Diabetis juga memudahkan pesakit dijangkiti (kuman), selain
komplikasi buah pinggang dan 'end-stage' di peringkat rawatan dialisis,"
katanya pada sidang media di HSB hari ini.
Pada 6 Mei lepas, Azizan yang menghadapi masalah bengkak
kaki dimasukkan ke Kedah Medical Centre (KMC) di Alor Setar sebelum dipindahkan
ke HPP keesokan harinya.
Di HPP, Azizan yang merupakan ADUN Sungai Limau terpaksa
menjalani pembedahan memotong kedua-dua belah kakinya akibat komplikasi
penyakit kencing manis, bagi mengelakkan jangkitan kuman pada kakinya merebak
ke anggota badan yang lain.
Setelah lebih tiga bulan menerima rawatan di HPP, pada 14 Ogos
lalu beliau dipindahkan ke ke Unit Rawatan Rapi (ICU) HSB.
Sejak pukul 3 pagi semalam, keadaan kesihatan Azizan
dilaporkan kritikal kerana menghadapi masalah jantung yang serius dan terpaksa
bergantung kepada alat bantuan pernafasan.
Sementara itu, Setiausaha PAS kawasan Jerai Muzaini Azizan
berkata, jenazah Azizan akan disembahyangkan di Markaz PAS Pokok Sena sebelum
dikebumikan di Muassasah Darul Ulum pada jam 5.00 petang ini.
"Jenazah kini dalam perjalanan ke Markaz PAS Pokok
Sena. Semua urusan mandi dan mengkafan jenazah beliau dilakukan di hospital.
"Rakyat boleh mengunjungi jenazahnya di markaz
tersebut," katanya ketika dihubungi Malaysiakini kira-kira jam 1.30 petang
ini.
Muzaini berkata jenazah bekas pesuruhjaya PAS itu akan
dikebumikan bersebelahan dengan bekas presiden PAS Datuk Fadzil Noor di
muassasah tersebut.
Azizan yang juga bekas pesuruhjaya PAS Kedah meninggalkan
dua orang isteri dan 14 orang anak.
Susulan kematian Azizan, kerusi DUN Sungai Limau kosong dan
membolehkan pilihan raya kecil kedua diadakan selepas di DUN Kuala Besut.
Pada pilihan raya umum lalu, Azizan berdepan dengan cabaran
empat penjuru termasuk sepupunya Mohd Fazillah Mohd Ali yang mewakili BN.
Azizan mempertahankan kerusi DUN itu dengan majoriti 2,774 undi.
sumber : malaysiakini
0 comments:
Post a Comment