Agenda 16:16 PAS di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala
Besut gagal apabila pengundi sekali lagi memilih untuk mengekalkan Barisan
Nasional (BN) dengan majoriti yang lebih besar.
Calon BN Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman
menewaskan lawannya dari PAS, Endut@Azlan Yusof dengan majoriti 2,592 undi,
sekaligus menyaksikan pembangkang sukar menembusi kubu kuat BN itu.
BN memperolehi 8,288 undi, manakala PAS pula sekadar
memperolehi 5,696 undi.
Sejumlah 125 undi pula diumumkan tidak diterima.
Perkara itu diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya, A
Rahim Jusoh sebentar tadi di Pusat Penjumlahan Undi, di Dewan Majlis Daerah
Gong Kemuntong.
Penyandang kerusi berkenaan dari BN, Allahyarhan Dr A Rahman
Mokhtar menang Pilihan Raya 2013 menewaskan calon PAS Napsiah Ismail dengan
majoriti 2,434 undi.
Kemenangan BN itu memperlihatkan pelaburan hampir setengah
bilion ringgit parti pemerintah itu bagi 15 projek di kawasan DUN berkenaan
membuahkan hasil.
PAS juga dilihat gagal memenangi hati pengundi melalui
isu-isu tanah dan juga perselisihan antara Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said
dan Menteri Pendidikan II Datuk Seri Idris Jusoh di dibangkitkan.
Lapan Bahagian Pilihan Raya ditetapkan SPR di lokasi pertama
PRK selepas Pilihan Raya 2013 itu, dengan antaranya termasuklah Pulau
Perhentian, Seberang Barat, Kampung Nail, Seberang Barat Luar, Tok Saboh,
Kampung Nagka, Kampung Baru, dan Bukit Puteri, dengan sejumlah 16,534 pengundi
akan mengundi hari ini.
Sejumlah 1,134 pengundi awal daripada kalangan tentera dan
14 anggota polis mengundi awal pada 20 Julai lepas di Pangkalan Tentera Udara
Gong Kedak, menjadikan keseluruhan pengundi berdaftar berjumlah 17,683.
Tepat jam 5 petang, sebaik sahaja pusat pengundian ditutup,
seramai 14,108 pengundi membuang undi dengan jumlah keseluruhan yang mengundi
kali ini adalah menghampiri 80 peratus.
0 comments:
Post a Comment