SHAH ALAM – Hakim Datuk Akhtar Tahir memberitahu Mahkamah
Tinggi bahawa bekas peguam, N Pathmanabhan dan tiga pekerja ladangnya mempunyai
motif untuk membunuh jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga
rakannya kerana tersepit isu penjualan tanah di Pulau Pinang.
Akhtar berkata, isu penjualan tanah itu melibatkan
Sosilawati dan bekas Adun Sementa, Datuk Abd Rahman Palil.
Bagaimanapun, tindakan Pathma mewakili kedua-dua mereka
adalah tidak beretika sehingga dia juga enggan membuat perjumpaan antara
keduanya.
“Motif itu diperoleh setelah mempertimbangkan keterangan
Pathma yang mempunyai sebab lain yang lebih kukuh dan bukan disebabkan isu cek
semata-mata.
“Akibat tertekan dengan Sosilawati dan Abd Rahman, Pathma
mengambil jalan mudah dengan menghabiskan salah seorang daripada mereka dan ini
berlaku kepada Sosilawati.
“Sementara tiga lagi rakan Sosilawati yang mengikuti jutawan tersebut ke Banting pada hari kejadian turut dibunuh,” katanya.
“Sementara tiga lagi rakan Sosilawati yang mengikuti jutawan tersebut ke Banting pada hari kejadian turut dibunuh,” katanya.
Akhtar berkata demikian dalam alasan penghakimannya selepas
menjatuhkan hukuman gantung sampai mati ke atas Pathmanabhan, T Thilaiyalagan;
R Matan dan R Khatavarayan selepas didapati bersalah membunuh Sosilawati dan
tiga rakannya.
Dalam prosiding terdahulu, Akhtar berkata, keputusan itu
dibuat selepas mahkamah berpuas hati dengan semua bukti dan bahan bukti yang
dikemukakan di mahkamah sepanjang perbicaraan yang bermula pada 4 Julai 2011.
Katanya, pembelaan di peringkat ini telah gagal menyangkal
kes pendakwaan kerana bukti dan keterangan sudah cukup mensabitkan semua
tertuduh bersalah membunuh semua mangsa dengan satu niat.
Menurutnya, walaupun tiada mayat ditemui, mahkamah menerima
pakai bukti yang dikemukakan oleh pendakwaan, iaitu kesan darah dan barang
peribadi yang ditemui di kawasan Ladang Gadong, Banting.
“Justeru, mahkamah berpendapat penemuan kesemua barang bukti
tersebut menunjukkan kehadiran mereka di ladang pada hari kejadian,” katanya.
Beliau berkata, mahkamah menerima pakai keterangan anak
kepada Sosilawati, Erni Dekritawati Buhari, yang mengesahkan bahawa ibunya akan
berjumpa dengan Pathma di Banting, untuk menyelesaikan dua keping cek.
“Mahkamah beranggapan tiada sebab untuk saksi ini menipu.
Begitu juga dengan isteri mangsa yang mengikut Sosilawati sebagai penasihat.
“Selain itu rekod panggilan telefon yang dikemukakan oleh
saksi telekomunikasi menunjukkan Sosilawati dan rakannya berada di Banting,”
katanya.
Akhtar berkata, bagaimanapun, kesemua keterangan ini tidak
boleh dicabar oleh pembelaan.
Dalam pada itu, Akhtar berkata kehadiran semua mangsa di
Ladang Gadong turut disahkan oleh pembantu rumah warga Indonesia, Siti Hamidah
Karnax.
“Keterangan saksi itu ada melihat seorang perempuan dan tiga
lelaki Melayu pada petang 30 Ogos 2010 serta mendengar jeritan selain melihat
api besar di kawasan ladang.
“Mahkamah lebih percayakan kredibiliti saksi ini dan dia
memberi keterangan yang benar,” katanya.
Akhtar berkata, beliau percaya dengan keterangan tertuduh
keempat, Khatvarayan, yang mengesahkan Sosilawati dan tiga rakannya datang ke
ladang pada 30 Ogos 2010.
Bagaimanapun, jika merujuk kepada keterangan Khatavarayan,
Akhtar berkata, beliau menganggap tertuduh itu jelas sekali rakan subahat,
namun berpaling tadah kerana mungkin berselisih faham dengan tertuduh pertama.
“Mahkamah berpendapat kebanyakan keterangan Khatavarayan hanya
direka secara berhati-hati untuk menunjukkan dia tidak bersalah.
“Versi keterangan Khatavarayan adalah untuk selamatkan
dirinya, meskipun banyak percanggahan keterangan dengan tiga lagi tertuduh
lain,” katanya.
Katanya, pembelaan gagal menjelaskan berhubung barangan
peribadi mangsa selain tiada penjelasan mengenai penemuan darah dan tulang
manusia di ladang terbabit.
“Pembelaan juga mencabar bukti DNA, namun tiada sebab untuk
tolak bukti saksi pakar yang diterima sebelum ini kerana pembelaan gagal berbuat
demikian.
“Malah penemuan darah dan sisa tulang manusia di ladang
menimbulkan kemungkinan kejadian yang berlaku kepada kesemua mangsa yang
dibakar sehingga mati,” katanya.
Menurutnya, mahkamah bersetuju dengan cadangan peguam, iaitu
tertuduh keempat yang memanipulasi bukti untuk menyesuaikan dengan kesnya
kerana dia mendengar semua keterangan saksi dan ia tidak sukar untuk mencipta
semua keterangan di mahkamah. - Sinar Harian Online
0 comments:
Post a Comment