Seorang wanita
berdepan hukuman gantung sampai mati selepas dihadapkan ke mahkamah majistret
di sini, semalam terhadap tuduhan membunuh anak tirinya berusia lima tahun di
Tumpat, bulan lalu.
Tertuduh, Azlinda
Othman, 28, hanya mengangguk faham terhadap pertuduhan yang dibacakan oleh
jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Mohd Isa Mohamed di sini, semalam.
Bagaimanapun, ketika
prosiding tiada sebarang pengakuan direkodkan terhadap tertuduh.
Mengikut
pertuduhan, Azlinda didakwa membunuh Umi Amilia Azman, 5, di hujung Perumahan
Kos Rendah, Kampung Jubakar Pantai, Tumpat antara jam 3 petang hingga jam 8.56
pagi pada 23 Mac hingga 24 Mac 2013.
Bagi kesalahan itu,
dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman
mati, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya
negeri, Noor Dayana Mohamed tidak menawarkan sebarang jaminan dikenakan
terhadap tertuduh.
Mahkamah menetapkan 8
Mei depan untuk sebutan semula kes bagi laporan perubatan mangsa. Peguam K H
Tay yang mewakili tertuduh tidak mengemukakan sebarang rayuan.
Sinar Harian sebelum
ini melaporkan seorang kanak-kanak perempuan mati di Hospital Raja Perempuan
Zainab (HRPZ) II dipercayai didera ibu tirinya.
Mangsa dikatakan
didera ibu tirinya dengan tidak diberi makan selama dua hari selain mengalami
kecederaan pada usus besar.
Hasil bedah siasat
mendapati mangsa meninggal dunia akibat dua kesan pecah pada usus besar selain
kecederaan pada buah pinggang kirinya. -Sinar Harian
0 comments:
Post a Comment