February 19, 2013

INFO : Teknologi Melayu Lama Bertaraf Dunia

Leave a Comment


ORANG Melayu terdahulu bukan sahaja memiliki keris dan parang sebagai senjata mempertahankan diri, malah mereka juga mempunyai meriam, senapang, serbuk bedil dan senjata api lain yang mampu menghalang kemaraan musuh.
Umpamanya, orang Melayu mempunyai meriam Lela Rentaka yang mudah dialih serta dimuatkan ke dalam belebas kapal dan sampan.
Demikian sekilas maklumat yang disampaikan penulis dan pengkaji budaya Melayu, Encik Muhammad Jailani Abu Talib, menerusi ceramah beliau yang bertajuk Persenjataan Melayu: Daripada Keris kepada Meriam, yang diadakan di Taman Warisan Melayu (TWM), semalam.
"Menarik lagi, Melayu di Pahang dipercayai memiliki 1,000 meriam loyang (brass), 2,000 senapang dan dua gedung penuh serbuk bedil sekitar tahun 1600, menurut kajian-kajian.
Jadi, orang Melayu sebenarnya tidak terlalu terbelakang.
"Orang Melayu, pahlawan-pahlawan Melayu, memainkan peranan dalam pertahanan mutlak seperti Leftenan Adnan. Beliau berkata 'Biar putih tulang, jangan berputih mata'," ujar Encik Jailani, yang juga siswazah kepujian bidang pengajian Melayu, Universiti Malaya.
Ceramah dua jam bermula 10 pagi itu adalah antara kegiatan baru anjuran TWM dalam suku pertama tahun ini.
Ia adalah sebahagian daripada pameran Seni Perang Melayu yang berlangsung dari Isnin lalu hingga Sabtu depan, dengan kerjasama Yayasan Keris Singapura (YKS), sempena Hari Pertahanan Mutlak.
Pameran tersebut mengetengahkan khazanah warisan Nusantara, seperti keris panjang dan tombak, yang dipercayai terhasil seawal abad ke-18 dan dari pelbagai kawasan, misalnya dari Malaysia, Riau, Sumatera, Mindanao dan Jawa.
Menurut Encik Jailani, khazanah yang dipamerkan itu dipinjam daripada pakar budaya Melayu, Dr Mohd Taib Osman, dan pensyarah Universiti Teknologi Mara, Encik Nor Afifi Mohd Taib, selain daripada koleksi peribadi anggota YKS.
Menurut Pengurus Program TWM, Encik Jamal Mohamad, pameran dan ceramah itu memberi peluang kepada pihaknya menjelaskan segala salah tanggapan terhadap persenjataan Melayu serta mendalami sains di sebaliknya.
"Orang Melayu dulu sebenarnya setaraf dari segi teknologi dengan dunia pada waktu itu. Terdapat keperluan untuk menggali semula kisah-kisah silam ini kerana senjata-senjata ini membuktikan kemajuan kita," ujar Encik Jamal.
Diminta mengulas, pelancong asal California, Amerika Syarikat, Encik Jacob Broder, berkata beliau tertarik dengan selok-belok bidang perkerisan, lalu menghadiri ceramah tersebut.
"Saya rasa ghairah melihat pameran ini. Reka bentuk keris memang halus dan harus dihargai," ujar Encik Jacob, 24 tahun.

0 comments:

Post a Comment

.