February 21, 2013

INFO : PRU-13 Akan Diadakan Pada Pertengahan April

Leave a Comment
PRU13, pilihan, raya, umum, najib, 13, Umno, UMNGOK, PAS


KUALA LUMPUR, 21 Feb – Pilihan raya umum (PRU) ke 13 dijangka akan berlaku pada minggu kedua April, sebulan selepas Datuk Seri Najib Razak tamat jelajah “Janji Ditepati” dan Barisan Nasional (BN) selesai menyiapkan senarai calon dan manifesto, kata satu sumber.
The Malaysian Insider difahamkan, perhentian terakhir jelajah perdana menteri adalah kawasan parlimennya Pekan pada 16 Mac dimana beliau dijangka akan bertemu dengan Yang Di Pertuan Agong selepas itu untuk membubarkan parlimen.
“Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kebiasaannya menetapkan tarikh pilihan raya tiga minggu selepas parlimen dibubarkan, jadi kami jangka paling awal adalah pertengahan April,” kata sumber BN kepada The Malaysian Insider.
Terdapat spekulasi parlimen akan dibubarkan minggu ini dan PRU akan diadakan pada akhir Mac, lebih lima tahun selepas PRU terdahulu pada 8 Mac, 2008.
Akan tetapi sumber BN menafikan spekulasi tersebut, mengatakan satu-satunya acara berkaitan pilihan raya minggu ini adalah SPR akan mengazetkan daftar pemilih terbaru esok.
SPR akan menetapkan tarikh pilihan raya dengan 10 hari tempoh berkempen dan dijangka akan melakukannya selepas parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan kecuali bagi DUN Sarawak. Sarawak telah mengadakan pilihan raya negeri pada 2011.
“PM mempunyai masa sehingga 28 April untuk mengadakan pilihan raya. Beliau akan mengambil masa,” kata sumber tersebut, dengan menambah pemimpin BN akan menyemak manifesto dan senarai calon dengan berhati-hati untuk memastikan kombinasi kemenangan.
The Malaysian Insider, sebelum ini, melaporkan manifesto BN akan siap pada akhir bulan ini dan aktivis dari parti komponen telah mula bekerja di bawah.
The Star melaporkan semalam Najib mahu “segalanya diselesaikan” pada akhir Mac, merujuk kepada manifesto, senarai calon dan persediaan umum.
Akhbar berbahasa Inggeris milik MCA itu juga mengatakan Najib menghadapi kesukaran untuk melantik calon Menteri Besar untuk Kedah dan Selangor yang cuba dirampas semula BN.
“Tanpa nama calon MB yang dicadangkan sebelum pilihan raya, Najib akan berdepan kesukaran untuk meyakinkan pengundi bahawa BN serius untuk menawan kembali negeri itu,” kata satu sumber kepada The Star.
The Malaysian Insider difahamkan senarai menteri besar akan siap akhir bulan ini selepas Majlis Raja-raja bersidang pada 26 Febuari.
Beberapa menteri besar dijangka akan digugurkan atau dipindahkan ke peringkat pusat bagi yang telah berkhidmat lebih dari tiga penggal di negeri mereka.
“Najib serius dengan transformasi, tentang memperbaharui parti, jadi perlu menukar menteri besar seperti mana Dr Mahathir lakukan pada 1982,” kata orang kuat Umno kepada The Malaysian Insidermerujuk kepada rombakan pemimpin negeri dilakukan Tun Dr Mahathir Mohamad selepas mendapatkan mandat sebagai perdana menteri pada Pilihan Raya 1982.
Di kalangan menteri besar atau ketua menteri yang mungkin perlu di tukar adalah dari Johor, Melaka dan Pahang selain dari muka baru di Kedah dan Selangor.
The Star turut melaporkan beberapa pemimpin BN mengatakan, Najib mahu menggelakkan tarikh dari 29 Mac hingga 4 April untuk tarikh pilihan raya.
Ini kerana, kata mereka, tarikh tersebut jatuh pada cuti Good Friday pada 29 Mac dan Easter pada 31 Mac manakala Qing Ming pula pada 4 April.
Oleh kerana 4 April jatuh pada hari Khamis, kebanyakan masyarakat Cina memilih untuk membersihkan kubur nenek moyang mereka sepanjang hujung minggu iaitu 6 dan 7 April.
“Kebanyakan kaum Cina pulang ke kampung halaman dan pilihan raya pada minggu tersebut mungkin tidak mendapat sambutan,” kata akhbar tersebut.

0 comments:

Post a Comment

.