Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah bertitah sekiranya pendekatan wasatiyyah dapat dihayati, maka perpaduan boleh dicapai serta kecemerlangan akan menjadi kenyataan.
Baginda juga percaya rakyat di negara ini amat memahami dan menyedari kepentingan perpaduan dalam sesebuah masyarakat dan negara.
“Perpaduan, kestabilan dan kesejahteraan adalah amat penting untuk meneruskan agenda pembangunan, membina kekuatan dan mendaulatkan negara,” titah baginda pada majlis sambutan Maulidur Rasul peringkat kebangsaan tahun 1434H di sini hari ini.
Turut berangkat hadir pada majlis itu Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah.
Sambutan bertemakan ‘Wasatiyyah Tonggak Kesatuan Ummah’ itu juga turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Seri Paduka baginda turut menyeru rakyat agar bersama-sama mengekal dan memperkukuhkan perpaduan untuk membina kekuatan bagi memajukan agama, bangsa dan negara.
“Marilah kita sama-sama menjayakan setiap usaha pembaharuan dan perubahan dengan menggunakan acuan Islam sebagaimana yang diajar Nabi Muhammad S.A.W iaitu dengan penuh kesederhanaan dan berimbang,” titah baginda.
Baginda bertitah sirah Rasulullah juga menunjukkan bahawa kepelbagaian dalam masyarakat sama ada dari segi keturunan, pegangan agama, budaya dan bahasa, bukanlah satu masalah dan penghalang kepada perpaduan asalkan kesederhanaan atau pun pendekatan wasatiyyah itu dijadikan amalan dalam kehidupan.
Pada majlis itu baginda turut berkenan menyampaikan Anugerah Perdana Maulidur Rasul kepada bekas Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak dan bekas Mufti Negeri Sarawak Datuk Seri Anis Abot.
0 comments:
Post a Comment